Isnin, Disember 9, 2024
 Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Agro Pelancongan Sawah Gemilang

Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Agro Pelancongan Sawah Gemilang

AHAD (03.07.2022)


SUNGAI PETANI – Kerajaan Negeri Kedah dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Penanam-Penanam Padi dan Jabatan Pertanian Negeri Kedah melaksanakan satu projek Agro Pelancongan “Kampung Padi” Sawah Gemilang bagi mewujudkan sebuah model pengurusan Estet Padi melalui pendekatan Analisis Sisihan ‘Gap Analysis’.

Tujuan projek ini dilaksanakan adalah bagi menjadikan Sawah Gemilang sebagai Sekolah Padang ‘Field School’ kepada petani sekitarnya agar mencapai potensi hasil selaras dengan matlamat SSL 85 peratus.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Paduka Ammar Dato’ Shaikh Mahmood Naim berkata melalui pelaksanaan projek-projek ini akan memberi manfaat dan keuntungan bersifat jangka panjang kepada pihak Lembaga dan seterusnya dinikmati oleh semua petani yang mendaftar sebagai ahli Persekutuan Penanam-Penanam Padi Kedah melalui pemohonan pinjaman, tabung kebajikan ahli, khairat kematian dan derma pelajaran.

“Sering diingatkan ahli-ahli Lembaga dan pegawai-pegawai Lembaga supaya sentiasa memikirkan dan mengambil tindakan yang produktif bagi memastikan kelangsungan Lembaga ini yang ditubuhkan sejak tahun 1955 untuk berada dalam keadaan yang sentiasa relevan dengan perkembangan semasa.

“Pihak Lembaga perlu mengorak langkah untuk terlibat sama dalam proses pembangunan dan pengeluaran produk berasaskan pertanian dan tidak hanya menjadi tuan tanah semata-mata. Hasilnya, melalui kerjasama dengan usahawan tempatan di Tikam Batu ini, pihak Lembaga telah mengeluarkan produk beras wangi Lembaga Padi varian MRQ 76 yang mula dipasarkan pada pertengahan tahun ini dan mendapat sambutan yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Pecah Tanah Projek Agro Pelancongan Sawah Gemilang Jabatan Pertanian di Kampung Padang Regent, Mukim Pekula Tikam Batu di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Kedah, Ramli Abdul Rahman dan Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Penanam-Penanam Padi Negeri Kedah, Baharom Kassim.

Dalam perkembangan yang sama, Ammar berkata Projek Agro Pelancongan Sawah Gemilang Jabatan Pertanian ini akan dibina di atas tapak yang berukuran tujuh relong dan diberi nama ‘Kampung Padi’ sebagai simbolik kerajaan Kedah sebagai pengeluar utama padi negara. Ianya terletak berhampiran kawasan bendang melalui jalan utama berhampran dengan sempadan negeri Pulau Pinang.

“Pembinaan projek ini melibatkan struktur taman tema air, lot rumah kedai, homestay berkolam, chalet beserta kolam mandi, restoran terapung, menara tinjau, laluan jeti, taman mainan dan pejabat pengurusan.

“Apabila siap saja projek ini ianya dapat membantu sosio-ekonomi setempat serta memberi peluang perniagaan dan kerjaya kepada penduduk setempat. Selain itu, ianya mampu memberi pulangan yang tinggi kepada pihak pelabur dengan kadar keuntungan yang berpanjangan, menjadi produk ikonik Agro Pelancongan serta pengunjung dapat merasai suasana kampung padi dan memperolehi ilmu berkaitan industri padi.

“Meskipun beberapa perkara berkenaan projek kerjasama ini masih dalam penelitian, saya menaruh keyakinan kepada keupayaan semua pegawai Lembaga untuk merencanakan projek ini tanpa mengenepikan kepentingan fungsi Lembaga secara keseluruhannya dan menjangkakan kerjasama ini akan memberi faedah kepada banyak pihak,” ujarnya.


Sumber : FB Warta Kedah