Sabtu, Julai 27, 2024
 LKPPK Hasil Beras Wangi MRQ76

LKPPK Hasil Beras Wangi MRQ76

SELASA (05.04.2022)

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Penanam-Penanam Padi Negeri Kedah (LKPPK) telah menghasilkan produk beras wangi bagi menampung keperluan dan permintaan penduduk Malaysia.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Paduka Ammar Dato’ Shaikh Mahmood Naim berkata produk beras wangi Lembaga Padi ini adalah hasil usahasama pihak LKPPK bersama sebuah Syarikat Agro Tech Sempadan Enterprise (ATS) dimana beras yang dihasilkan ini adalah hasil tuaian padi wangi MRQ76.

“Pengeluaran produk ini adalah sebagai satu inisiatif Lembaga untuk terlibat dalam industri keluaran beras dan mempelbagaikan hasil pendapatan kepada Lembaga disamping menjadikan Projek Sawah Gemilang ini sebagai satu contoh projek estet padi di negeri Kedah yang mendapat bimbingan dari Jabatan Pertanian Negeri.

“Projek ini juga dilaksanakan di tanah bendang milik LKPPK seluas 114 relong bersamaan 34.02 hektar yang terletak di Tikam Batu, Daerah Kuala Muda,” katanya.

Hadir sama Timbalan Pengerusi LKPPK, Baharom Kasim dan Setiausaha LKPPK, Mohd Asrol Sany Awang Puteh.

Dalam pada itu, varieti beras wangi MRQ76 merupakan hasil kacukan antara titisan Q72 dan baka Cuicak wangi.
Kacukan ini telah dijalankan oleh MARDI pada musim 2000/2001 yang bertujuan untuk meningkatkan hasil, tekstur nasi dan aroma serta kerintangan terhadap penyakit karah tangkai. Tempoh matang varieti ini pula adalah sekitar 115 hingga 117 hari lepas tabur (HLT).