Saturday, 21 July 2018 | Login

Sejarah LKPPK

   

 

Lembaga Kemajuan Penanam-Penanam Padi Kedah adalah sebuah institusi terawal di negeri Kedah dan diasaskan penubuhannya oleh orang-orang melayu,bertujuan membantu para petani, khususnya penanam-penanam padi. Gerakan penubuhannya tercetus ekoran penurunan harga padi oleh kerajaan persekutuan pada tahun 1955. iaitu dari $17.00 menjadi $12 sepikul. Insiden penurunan ini menimbulkan keresahan dan rasa tidak puas hati di kalangan petani kerana pendapatan mereka terjejas.

Walaupun keadaan negara masih darurat ketika itu dan setiap pergerakan atau aktiviti amat terhad, namun mereka tetap bangkit menyuarakan bantahan serta menuntut hak didalam beberapa siri perhimpunan yang diadakan di beberapa tempat. Bantahan juga dihantar melalui talegram serta memorandum kepada pihak kerajaan negeri dan persekutuan.

Kerajaan Persekutuan terpaksa menubuhkan sebuah jawatankuasa Penyiasat yang kemudiannya memperakui bahawa tindakan menurunkan harga padi telah mengakibatkan pendapatan petani terjejas. Kertas Putih bernombor 28/1955 dikeluarkan dimana kerajaan Persekutuan bersetuju memberi bantuan segera kepada golongan petani di seluruh Tanah Melayu.

Negeri Kedah telah mendapat wang bantuan sebanyak $4.6 juta iaitu mengikut jumlah keluasan bendang yang dimiliki. Kebanyakkan negeri memberikan terus wang bantuan tersebut kepada penanam-penanam padi tetapi pemimpin-pemimpin petani di Negeri Kedah mahukan peruntukan bantuan untuk negeri kedah itu dijadikan sebuah kumpulan wang yang boleh memberikan faedah dan manafaat berkekalan kepada petani-petani yang terlibat.

Kerajaan negeri mengumpul pendapat serta pandangan dengan mengadakan mesyuarat dengan wakil-wakil petani terlibat. Didapati kebanyakannya bersetuju dengan cadangan supaya wang bantuan tersebut dijadikan sebuah kumpulan wang. Cadangan ini dibawa ke dalam majlis mesyuarat kerajaan negeri yang bersidang pada hari sabtu, 21 Syawal 1374 bersamaan 11 Jun 1955. Tujuan utama penubuhan Lembaga seperti yang dibentangkan berbunyi :

“Bahawa rial yang diperuntukkan kepada negeri kedah menurut paper persekutuan no. 28/55 persekutuan Tanah Melayu (Pertolongan kepada penanam-penanam padi tahun 1955) itu patut dijadikan satu kumpulan Wang yang diuntukkan itu hendaklah digunakan terutama sekali bagi menebus tanah-tanah bersangkut dengan jual janji dan wang itu tidak digunakan bagi membayar terus dengan wang tunai kepada penanam padi menurut keluasan tanah ……….”

Lembaga diberi kebenaran untuk bergerak. Pejabat pertama Lembaga mula beroperasi dengan menumpang di sebuah bilik di Pejabat Tanah Kota Setar dan Setiausaha Lembaga yang pertama ialah Encik Shaari Bin Mohd Daud.

Pada 15 Disember 1955, Majlis Mesyuarat Kerajaan bersetuju dan meluluskan penubuhan Lembaga Kemajuan Penanam-Penanam Padi Kedah di bawah Enakmen No. 1 Tahun 1375(1955).

 

 

 

 

 

 

Lembaga Kemajuan Penanam-penanam Padi Kedah. Tingkat 2, Bangunan Dato' Haji ALi Ismail, Jalan Tunku Ibrahim , 05000 Alor Setar , Kedah Darul Aman.

No. Tel: 04-7313850, 04-7717552 , Fax: 04-7348520 , Email: lkppk@kedah.gov.my . Hak Cipta Terpelihara 2000 - 2018

Sesuai dipaparkan menggunakan IE 9.00 , Firefox 4,Chrome 9  ke atas dengan menggunakan resolusi 1028X728

Peta Laman | Notis Hakcipta | Penafian | Bantuan W3C