Saturday, 21 July 2018 | Login

Kaji semula Akta Penanam Padi

ALOR SETAR 1 April - Kerajaan Pusat disaran menyemak dan mengkaji semula Akta Penanam Padi 1955 (Pindaan 1967) agar kembali memberikan manfaat kepada penyewa dan tuan tanah kerana akta itu didapati tidak lagi sesuai dengan situasi semasa.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, Akta Penanam Padi itu sudah tidak popular dalam kalangan petani kerana isi perjanjiannya dianggap lapuk dan tidak lagi relevan.

"Petani sekarang dikatakan lebih gemar menyediakan perjanjian sendiri yang tentunya lebih memihak kepada penyewa kerana kadar sewa yang dikenakan agak tinggi. Dalam masa yang sama, merugikan pula tuan tanah apabila tanah berkenaan hendak dijual atau sebagainya.

"Jika akta itu sudah tidak sesuai lagi dengan keadaan semasa, mungkin kerajaan Pusat perlu menyemak dan melakukan pindaan semula Akta Penanam Padi agar kembali memberikan manfaat kepada penyewa dan tuan-tuan tanah," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan wang ihsan kepada ahli-ahli pengasas Lembaga Kemajuan Penanam-Penanam Padi Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Seramai 1,600 ahli pengasas Lembaga Kemajuan Penanam-Penanam Padi Kedah menerima wang ihsan berjumlah RM500 setiap seorang daripada kerajaan negeri sebagai tanda penghargaan kepada usaha mereka memajukan tanaman padi di negeri ini.

Menurut Mukhriz, beliau difahamkan sejak diperkenalkan pada 1955, hanya sekali akta berkenaan dipinda iaitu pada 1967 malah pegawai-pegawai Akta Penanam Padi juga sudah tidak lagi ditempatkan di Pejabat-Pejabat Tanah Daerah.

"Pada pendapat saya, Lembaga Kemajuan Penanam-Penanam Padi Kedah perlu tampil membantu dengan memberikan saranan dan idea bernas untuk terus menjaga kepentingan penyewa dan tuan tanah.

"Barangkali perlu diadakan satu seminar atau forum khas mengenainya yang digerakkan oleh Lembaga Kemajuan Penanam-Penanam Padi Kedah," ujarnya.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata, ketika ini pertubuhan atau persatuan yang mewakili petani masih dimonopoli oleh golongan veteran atau yang agak berumur.

"Saya mengharapkan generasi muda juga diberi asuhan dan galakan bagi menyemai minat dalam aktiviti berpersatuan," jelasnya